Majlis Perasmian Kempen Duta Sahsiah Remaja ; Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah : Hentikan SalahLaku Buli dan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 di Sekolah kebangsaan felda Jenderak Utara. Majlis yang diadakan pada hari ini merupakan satu komitmen bersama untuk memperkasakan karakter “karamah insaniah” dalam kalangan murid, iaitu keperibadian yang berasaskan nilai-nilai murni dan sifat kemanusiaan yang luhur. Inisiatif ini bukan sahaja untuk membentuk sahsiah peribadi yang baik, tetapi juga untuk menjadikan murid sebagai agen perubahan yang berupaya mempengaruhi rakan sebaya serta komuniti untuk turut mengamalkan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian.
Objektif utama Kempen Duta Sahsiah Remaja bertujuan untuk membentuk dan memperkasakan sahsiah dalam diri setiap individu. Sahsiah yang baik bukan sahaja menjadi cerminan kepada diri kita, tetapi juga berfungsi sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan maju. Melalui pembentukan sahsiah yang kukuh, kita dapat melahirkan modal insan yang mampu mencorakkan masa depan negara dengan lebih cemerlang dan gemilang.


